Sadar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak akan terlepas daripada menerima nikmat dan rahmat Allah.
Nikmat
yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya.
Jumlahnya tidak dapat dihitung dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan Allah
Ta'ala dalam firman-Nya:
"Dan sekiranya kamu menghitung
nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu
Maha Pengampun dan Maha Penyayang." -
(Surah an-Nahl, ayat 18)
Meneliti
kejadian dan karunia anggota badan utama pada tubuh manusia seperti
kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung dan mata, sudah cukup bagi
kita membuat kesimpulan betapa berkuasa, agung dan murahnya Allah Ta'ala serta
betapa lemah dan tidak berdayanya manusia yang menghuni alam fana ini.
Anggota
badan itu pula dijadikan Allah Ta'ala dengan rapi dan lengkap serta dapat
bergerak dan berfungsi serentak pada waktu sama. Sambil melihat, kita
dapat berbicara , mendengar, melihat , berjalan dan sebagainya.
Imam
Al Ghazali mendefinasikan nikmat itu sebagai: setiap kebaikan,
kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup 'ukhrawi' -
'hari akhirat yang kekal abadi.'
Secara umumnya, nikmat karunia Allah Ta'ala kepada setiap orang manusia dapat dibagi kepada dua yaitu:
1) Nikmat bersifat 'fitri' yaitu nikmat yang dibawa oleh manusia ketika dilahirkan lagi.
2) Nikmat mendatang yaitu nikmat yang diterima dan dirasakan dari masa ke semasa.
Nikmat bersifat fitri itu digambarkan oleh Allah Ta'ala dalam firman-Nya bermaksud:
"Dan
Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun.
Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya
kamu bersyukur - berterima kasih." - (Surah an-Nahl, ayat 78)
Sesungguhnya
manusia ini dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertelanjang bulat.
Tetapi dilengkapi dengan alat yang diperlukan dalam perjuangan hidup
ini.
Dalam ayat di atas, yang dimaksudkan dengan kelengkapan itu ialah telinga, mata dan hati (akal).
Ada
pun nikmat yang kedua iaitu nikmat yang dianggap mendatang itu ialah
segala kenikmatan, kelazatan, kebahagiaan dan sebagainya yang diterima
oleh manusia dalam perjalanan hidupnya.
Segala sesuatu yang ada
dalam alam ini, bermula daripada tanam tanaman sampailah kepada binatang
ternakan dan barang logam, semuanya diperuntukkan supaya dapat
dimanfaatkan oleh manusia.
Keadaan dan kenyataan ini dijelaskan oleh Allah Ta'ala dengan firman-Nya yang bermaksud:
"Dan
sebagai tanda untuk mereka ialah bumi yang mati (kering), Kami hidupkan
dan Kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman sebahagiannya
mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur.
"Dan
Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan
buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka
tidak bersyukur." - (Surah Yasin, ayat 31 hingga 35)
Lumrahnya,
seseorang manusia itu hanya akan menyadari nikmat yang dikaruniakan Allah Ta'ala
kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (dicabut
oleh Tuhan kembali).
Andai kata matanya rusak sebelah, kakinya
patah, kakinya kudung atau seumpama itu berlaku ke atas dirinya, maka
ketika itu barulah berasa sungguh-sungguh bagaimana nikmatnya mempunyai
dua biji mata, mempunyai kaki dan tangan tidak cacat.
Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit.
Seorang
yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan
pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang
disandangnya hilang.
Seorang hartawan apabila jatuh miskin dan
melarat, maka akan rasa bersalah olehnya bagaimana besarnya nikmat
kekayaan yang pernah dikecapinya itu.
Oleh itu peliharalah setiap
nikmat diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang
Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekalkan-Nya.
Syukur
dapat diertikan sebagai: Mengerti bahawa semua nikmat yang ada pada diri
seseorang hamba, baik yang lahir mahu pun yang batin, semuanya daripada
Allah sebagai pemberian daripada-Nya.
Tanda seseorang itu
bersyukur ialah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang
melorongkan jalan untuk beramal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Orang
yang bersyukur kepada Allah Ta'ala akan memperbanyakkan ucapan syukur dan
terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah
dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil saja.
Sesungguhnya bersyukur kepada Allah Ta'ala adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Ini jelas daripada firman-Nya:
"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." - (Surah an-Nahl, ayat 144)
Lawan
syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat
bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri
nikmat Allah Ta'ala yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya.
Seseorang
yang memukul orang lain dengan tangannya, maka orang itu dikira
mengkufuri nikmat, sebab tangan yang dijadikan Allah Ta'ala untuk
mempertahankan diri daripada perkara yang mengancamnya bukan mencedera
atau membinasakan orang lain.
Seseorang itu dianggap tidak
menggunakan nikmat matanya kerana mengkufuri nikmat mata apabila
menggunakannya untuk melihat wajah perempuan yang bukan muhrimnya.
Mata dijadikan Allah Ta'ala untuk melihat perkara mendatangkan kebaikan bagi agama dan dunia.
Sebab itu mata hendaklah dipelihara daripada melihat perkara yang mendatangkan bahaya dan mudarat.
Sikap
syukur pula untuk keuntungan manusia sendiri. Tuhan tidak mendapat
apa-apa keuntungan dengan perbuatan syukur yang dilakukan oleh
hamba-Nya. Sebaliknya, Tuhan juga tidak akan rugi dengan sikap kufur dan
engkar yang ditunjukkan oleh manusia.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah Ta'ala melalui firman-Nya yang bermaksud:
"Barang
siapa yang bersyukur maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan
barang siapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha
Mulia." - (Surah al-Naml, ayat 40)
Orang yang bersyukur jiwanya
akan menjadi semakin bersih. Dia akan bertambah dekat kepada Tuhan dan
semakin sadar bahawa nikmat itu adalah kurniaan Illahi yang perlu
dipergunakan untuk kebaikan sesama manusia.
Seseorang yang
memperolehi kekayaan, maka kekayaan itu hendaklah digunakan pula untuk
keperluan kebaikan seperti membantu fakir miskin, menolong orang yang
memerlukan dan sebagainya.
Orang berpangkat dan berkuasa hendaklah melakukan kebaikan terhadap orang di bawah atau rakyat jelata.
Sesungguhnya
bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehinya semakin bertambah.
Ini jelas dinyatakan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:
"Jika
kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu.
Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih." - (Surah
Ibrahim, ayat 7)
Sadar akan pentingnya sikap ini, maka syukurilah nikmat kurniaan Allah Ta'ala kepada kita baik nikmat lahir atau batin.
Mudah-mudahan
dengan berbuat demikian, maka nikmat itu akan kekal berterusan bersama
kita dan hidup kita pula akan mendapat keridhoan Allah subhanahu wa Ta'ala baik di dunia atau
akhirat.